SKUAD Futsal Harimau Malaya B-19 menutup kempen Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 dengan penuh bermakna apabila meraih tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nonthaburi, Thailand.
Aksi penentuan tempat ketiga itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas 40 minit permainan sebelum ketenangan pemain muda negara ketika penalti memastikan tempat ketiga menjadi milik Malaysia.
Vietnam terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Nguyen Truong Hoang Long seawal minit kelima, memaksa Malaysia bekerja keras sepanjang perlawanan untuk bangkit mengejar.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-39 apabila Iqbal Hazim Radzi menyamakan kedudukan hasil serangan balas pantas menerusi taktikal ‘Power Play’ yang direncana jurulatih Rakphol Sainetngam.
Namun, Vietnam kembali mendahului ketika permainan berbaki 16 saat sebelum Muhammad Aidil Zakwan Zaidi menceriakan kem Malaysia dengan gol penyamaan dramatik, sekali lagi hasil ‘Power Play’.
Penentuan sepakan penalti menjadi pentas kebangkitan mental skuad negara apabila penjaga gol Ammar Harith tampil wira dengan menyempurnakan sepakan kelima sebelum menafikan cubaan lawan, diikuti sepakan penentuan Aidil Fazrez Zul Hatta.
Kejayaan meraih tempat ketiga ini menjadi bukti jelas potensi besar futsal akar umbi negara, sekali gus menguatkan hujah bahawa futsal wajar terus diberi perhatian serius dalam perancangan jangka panjang bola sepak Malaysia.