PENGENDALI Pahang Rangers, Gerard Casas Ullastre mengakui kelebihan empat gol yang dimiliki dalam perlawanan pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) masih belum selamat sepenuhnya buat pasukan tersebut yang dijadualkan berdepan Johor Darul Ta’zim pada Isnin.

Pun begitu, dia menyedari kelebihan tersebut dapat membantu pasukan tersebut meneruskan momentum kecemerlangan dalam aksi akhir pertama yang dilangsungkan di Stadium SUKPAR.

“Masih belum selamat. Kelebihan 4 gol adalah tidak selamat langsung. Tetapi ada sedikit kelebihan. Namun ia salah kalau kita katakan ia selamat,” jelasnya ketika ditemui Flash Sukan pada sesi latihan menjelang aksi akhir kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL)  di Stadium Tertutup Pasir Gudang,Johor.

Bagi aksi final esok, Casas menjelaskan bahawa dia akan menukar sedikit taktikal perlawanan dengan mengurangkan bolos buat pasukan Pahang Rangers.

“Kita akan cuba sedikit perubahan dalam perlawanan esok dan cuba untuk mengurangkan risiko. Kita tidak perlukan gol yang banyak untuk menjadi juara. Kita harus menang ,itu yang lebih penting,” ujarnya.

Bagaimanapun, Casas tidak merasakan pasukan mereka berdepan tekanan menjelang aksi yang dijangka penuh sengit bagi perlawanan akhir kedua esok berdepan JDT kerana sudah terbiasa dengan permainan pasukan lawannya.

“Saya tidak rasakan ia adalah tekanan bermain di laman lawan. Dengan sokongan penyokong kami, kami yakin akan menang esok,” katanya.