PIHAK pasukan polis bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah bertindak meleraikan pergaduhan melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Laluan Ampang/Sri Petaling, sekitar jam 12 tengah malam tadi.

Insiden tersebut mengakibatkan kerosakan pada kemudahan stesen, termasuk bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform. Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian berlaku.

Pasukan polis bantuan bertindak pantas dengan membawa keluar kumpulan penyokong yang terlibat dari lokasi kejadian bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk.

Prasarana dalam kenyataannya menzahirkan rasa kesal terhadap kejadian ini dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk kekerasan atau kelakuan agresif, sama ada di stesen mahupun di dalam tren.

Susulan insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Besi. Prasarana juga sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut. Langkah ini diambil bagi memastikan tindakan undang-undang dikenakan terhadap individu-individu yang terlibat.

Sebagai pengendali perkhidmatan rel dan bas Rapid KL di Lembah Klang, Prasarana menegaskan komitmennya untuk memastikan sistem pengangkutan awam kekal sebagai tempat yang selamat dan selesa untuk semua pengguna.

“Kami menyeru semua pengguna untuk menunjukkan sikap bertanggungjawab dan beradab ketika menggunakan perkhidmatan kami,” menurut kenyataan tersebut pada Sabtu.

Prasarana berharap agar kejadian seperti ini tidak akan berulang di masa hadapan demi keselamatan dan keselesaan semua pihak.