“INI berkenaan dengan sukan. Apabila nak bertanding seharusnya menjadi sesuatu yang sihat mengikut dasar apa yang patut kita ikut,” ujar Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) I.Vikneswaran.
Vikneswaran berkata demikian ketika dihubungi FLASH SUKAN menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur yang bakal berlangsung 28 Disember ini.
Jelas Vikneswaran, sepanjang dua tahun dia memimpin PHKL, pelbgai aktiviti telah dilakukan mengikut kemampuan kewangan yang terhad.
“Saya rasa tempoh dua tahun bukanlah senang dengan kekangan kewangan. Tetapi apa yang patut kita sertai, kita dah buat dengan penuh tanggungjawab. Lebih kurang 30 aktiviti yang kita sertai, mengikut kemampuan dan sudah tentu kita telah menjalankan tugas dengan baik.
“Lebih manis, kita telah menjuarai Piala Tun Razak tahun lalu selepas penantian 12 tahun.
“Biarpun kami kekurangan insfrastruktur yang baik, seperti stadium tetapi ia tidak menyekat kami untuk membawa hoki Kuala Lumpur lebih baik. Stadium bukan di bawah pengurusan persatuan, dan kami faham kekangan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dalam mempercepatkan proses tersebut,” jelasnya.
Dalam masa yang sama Vikneswaran memberitahu dia gembira kerana sepanjang dua tahun memimpin persatuan dengan rekod kewangan bebas hutang.
“Saya tak bebankan persatuan. Kami mencari dana dan berbelanja mengikut kemampuan yang ada. Jadi kami juga tiada hutang sesiapa.
“Sebelum saya mengambil alih persatuan (2022), memang ada hutang yang mana saya sendiri tidak tahu lanjut mengenainya. Saya cuba untuk menyelesaikan tetapi apa boleh buat, kerana maklumat mengenainya tidak lengkap. Jadi saya telah serahkan perkara itu kepada peguam persatuan untuk urusan lanjut.
“Ia lebih kepada amanah. Tetapi sayangnya saya tidak tahu ke mana wang itu digunakan. Bukan saya yang guna,” jelasnya mengenai hutang persatuan berjumlah RM150,000.00.
Selain itu, Vikneswaran yakin bergelar presiden bukan sekadar jawatan semata-mata, sebaliknya ia adalah tanggungjawan kepada komuniti.
“Saya gembira sepanjang dua tahun bersama persatuan, kami dapat menjalinkan hubungan baik dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), persatuan di sekeliling yang saling bantu membantu dalam memastikan semua visi tercapai.
“Jadi saya berharap, sesiapa sahaja yang bakal bertanding pada AGM ini agar tahu mengenai dasar dan bertandinglah secara sihat,” akhirinya.
Viknesawaran dipilih sebagai presiden bagi tempoh 2022-2024 menggantikan Megat yang ketika itu digantung hoki setelah didapati melanggar Tatakelakuan Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) pada November 2020.