SABAH FC tidak menghadapi masalah untuk membalas semula dendam kekalahan pada perlawanan terdahulu apabila menang bergaya 4-1 ke atas Haiphong FC dalam aksi Piala AFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Skuad The Rhinos yang mahukan kemenangan untuk mencerahkan peluang untuk layak ke peringkat seterusnya bermula garang sejak awal perlawanan dengan pengendali, Datuk Ong Kim Swee melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama.

Meskipun bermain dalam keadaan cuaca hujan renyai, namun ianya tidak membataskan aksi kedua-dua pasukan yang sering berbalas serangan dalam perlawanan yang cukup mendebarkan.

Daniel Ting memulakan malam pesta Sabah dengan jaringan pertama pada minit ke-20 apabila bijak menyempurnakan hantaran Stuart Wilkin untuk memberikan Sabah kelebihan awal.

Lebih 7,000 penyokong yang hadir bertambah gembira apabila sepakan percuma Saddil Ramdhani tepat menemui Darren Lok yang menanduk masuk gol kedua untuk menggandakan kelebihan Sabah hingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Haiphong lebih banyak mengasak untuk mencari gol bagi merapatkan kedudukan dan ianya beberapa kali mencemaskan benteng pertahanan Sabah namun tidak dapat melepasi gawang kawalan Khairul Fahmi Che Mat.

Saddil Ramdhani yang mempamerkan aksi mengujakan kepada para penyokong dengan larian-larian pantasnya hampir menjaringkan gol ketiga buat Sabah namun percubaannya dihalang penjaga gol Haiphong.

Namun Saddil menebus kekecewaan itu dengan membuat hantaran cantik hasil sepakan sudut yang tepat menemui Gabriel Peres untuk gol ketiga buat Sabah yang juga gol ketiga peribadinya dalam kejohanan Piala AFC musim ini.

Yuri Souza berjaya mendapatkan satu gol buat Haiphong FC pada minit ke-85 namun sudah terlambat untuk bangkit sebelum Jeffri Firdaus Chew menjaringkan gol pada masa kecederaan untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Kemenangan ini menyaksikan Sabah berjaya mengutip tiga mata penuh dan kembali menerajui takhta Kumpulan H dengan sembilan mata selepas empat perlawanan manakala Haiphong turun ke tangga kedua kekal dengan enam mata.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, PSM Makassar menghidupkan kembali peluang selepas mengatasi wakil Singapura, Hougang United 1-3 dalam aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura.