Selangor meneruskan cabaran terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan kejuaraan Liga Super musim ini selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Star City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Kemenangan keenam berturut-turut itu menyaksikan skuad Gergasi Merah kekal tanpa kalah dalam liga dan mengumpul 18 mata daripada enam perlawanan, sekali gus terus mengekori JDT yang turut mencatat rekod kemenangan sempurna.

Pengendali Selangor, Kim Pan-gon, mengakui berada di puncak liga dan bersaing merebut kejuaraan merupakan sasaran setiap pasukan, namun beliau sedar perjalanan untuk mencapai matlamat itu bukan sesuatu yang mudah.

Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, beliau lega anak buahnya berjaya mengutip tiga mata penting walaupun terpaksa berdepan tekanan pada penghujung perlawanan, terutama selepas penyerang Chrigor Moraes dilayangkan kad merah pada minit ke-83.

“Setakat ini, saya fikir perjalanan kami berjalan dengan baik dan pemain juga menunjukkan prestasi yang bagus. Walaupun kami menerima kad merah, kami masih berjaya mendapatkan tiga mata,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pan-gon menegaskan Selangor mahu terus berkembang sebagai pasukan yang kompetitif dan memberikan saingan maksimum, sambil memastikan kelemahan yang masih wujud dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Saya tahu perjuangan ini bukan mudah. Saya sedar perkara itu, tetapi kami mahu memberikan cabaran yang maksimum.

“Saya tahu masih banyak kekurangan dalam pasukan dan kami akan terus berusaha untuk memperbaikinya. Kami mahu penyokong Selangor berasa bangga dengan pasukan ini. Itu sangat penting bagi saya,” katanya.

Dalam aksi berkenaan, jaringan Hugo Boumous pada minit ketujuh menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, sekali gus memastikan Selangor membawa pulang tiga mata penuh.

Bagaimanapun, Pan-gon berpendapat pasukannya sepatutnya mampu mencatat kemenangan lebih selesa sekiranya peluang yang terhidang dapat disudahkan dengan lebih berkesan.

Beliau turut mengingatkan pemain supaya mengambil iktibar daripada situasi berkenaan kerana kegagalan memanfaatkan peluang boleh menyebabkan pasukan berdepan kesukaran, seperti yang berlaku ketika pertemuan menentang Star City dalam saingan Piala FA sebelum ini.

“Ketika menentang Star City dalam Piala FA, kami mendahului 2-0 dan mempunyai peluang untuk menjadikan kedudukan 3-0 atau 4-0. Namun, kami gagal menjaringkan gol dan akhirnya terpaksa berdepan kesukaran serta menerima hukuman atas kegagalan itu.

“Saya fikir aspek itu perlu diperbaiki kerana jika kami mahu menjadi pasukan berkualiti dan kompetitif, kami mesti memperbaiki kelemahan,” katanya.

Justeru, meskipun Selangor terus mencatat keputusan positif, Pan-gon mahu barisan pemainnya meningkatkan ketajaman di hadapan gawang bagi memastikan mereka mampu mengekalkan momentum dalam usaha mencabar dominasi JDT musim ini.