DPMM FC kembali mencatat kemenangan dalam saingan Liga Super selepas menundukkan Negeri Sembilan FC 3-1 di Stadium Negara Sultan Hassanal Bolkiah, sekali gus memanjangkan penantian pasukan pelawat untuk kembali meraih tiga mata.
Beraksi di laman sendiri, DPMM turun dengan misi bangkit selepas tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA. Negeri Sembilan pula mengintai peluang untuk membawa pulang kemenangan dari Bandar Seri Begawan.
Jordan Murray mengetuai jentera serangan tuan rumah, manakala Negeri Sembilan mempertaruhkan Yusuke Minagawa, Luqman Hakim Shamsudin dan Akhyar Rashid bagi menggerakkan serangan mereka.
DPMM hampir membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Miguel Oliveira, namun percubaannya sekadar menggegarkan tiang gol. Tuan rumah akhirnya mendahului pada minit ke-12 apabila Murray menanduk bola melepasi penjaga gol Syahmi Adib Haikal untuk menceriakan penyokong sendiri.
Negeri Sembilan tidak menunggu lama untuk memberikan reaksi apabila Luqman Hakim menyamakan kedudukan pada minit ke-34. Jaringan itu pada awalnya dibatalkan kerana ofsaid sebelum semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkannya, sekali gus menghadiahkan gol pertamanya musim ini.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari jaringan tambahan, namun keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Selepas rehat, Negeri Sembilan meningkatkan tekanan dalam usaha memburu gol pendahuluan.
Pengendali Negeri Sembilan, Daniel Gimenez, melakukan beberapa pertukaran dengan memasukkan Jovan Motika, Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal, Alif Mutalib dan Aboubakar Kamara bagi menambah pilihan serangan. DPMM turut memperkemas jentera hadapan menerusi kemasukan Dalberto Luan.
Pertukaran itu membuahkan hasil buat tuan rumah apabila Dalberto meledak gol kedua pada minit ke-88, sekali gus meletakkan DPMM kembali di hadapan ketika perlawanan menghampiri penghujung.
DPMM kemudian melengkapkan kemenangan 3-1 menerusi jaringan pemain gantian, Oscar Santis, yang memastikan tuan rumah mengutip tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri.
Keputusan itu menyaksikan DPMM kekal di tangga keempat Liga Super dengan 12 mata, manakala Negeri Sembilan berada di kedudukan kelapan dengan lima mata. DPMM selepas ini akan berdepan JDT dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA pada 8 November, sementara Negeri Sembilan dijadual menentang Kuching City FC pada 20 November.