BIARPUN turun berlatih dalam suhu serendah 18 darjah Celcius, pasukan kebangsaan dilihat menjalani sesi latihan dengan tenang dan berkobar-kobar.
Dilihat kelibat beberapa pemain seperti Muhammad Safawi Abdul Rasid, Brendan Gan turut menghiasi latihan malam ini dengan sekali sekala menjerit riang.
Pada sesi latihan tersebut, Malaysia juga membuat latihan lebih kompak di bahagian pertahanan menampakkan seakan-akan sudah bersedia dengan amukan Vietnam pada Selasa.
Tidak ketinggalan juga apabila jurulatih Kim Pan-gon sempat berbisik mesra dengan barisan pemain dalam sesi latihan malam ini .
Ia sekaligus memperlihat sesuatu sudah direncana jurulatih berpengalaman itu dalam perlawanan berdepan pasukan terkuat Asia Tenggara ketika ini yang sangat berkeyakinan mampu melepasi Harimau Malaya.
Manakala di posisi penjaga gawang pula, Rahadiazli Rahalim , Kalamullah Al- Hafiz dan Ahmad Syihan Hazmi dilihat juga berada dalam keadaan bersedia menjelang perlawanan yang dijangka sengit ini.
Keadaan cuaca juga dilihat tidak menampakkan sebarang kegusaran di wajah pemain dan sangat profesional menjalani sesi latihan dengan ukiran senyuman di wajah mereka.