PASUKAN Sabah FC tidak mempunyai masalah untuk melepaskan pemain untuk mewakili Malaysia ke Piala Asean Mitsubishi Electric (Piala AFF) 2024 pada Disember sekiranya kelab mempunyai situasi menang-menang bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee faham situasi yang berbangkit kerana dia sendiri pernah menjadi ketua jurulatih skuad muda kebangsaan dan dia sendiri tahu panggilan kebangsaan adalah sesuatu yang penting buat pemain

Namun begitu, dia juga mahu situasi menang-menang dapat dicapai oleh kelab dan persatuan kerana liga yang masih berjalan dan juga risiko kecederaan yang mungkin melanda para pemain ketika bersama-sama skuad kebangsaan.

Kim Swee dan Sabah FC sentiasa menyokong panggilan pemain ke skuad kebangsaan

“Dari pihak saya dan Sabah FC, kami sentiasa menyokong aspirasi pasukan kebangsaan dan saya juga gembira apabila pemain-pemain pasukan ini berjaya menarik perhatian jurulatih Harimau Malaya.

“Namun begitu, kita perlu melihat kepada situasi menang-menang kerana di pihak kelab, kami mesti mempunyai pemain yang cukup cergas untuk bermain dalam aksi liga dan kerana sudah pasti ada risiko kecederaan ketika bersama skuad kebangsaan dan ini akan merugikan kami di kelab.

“Kejohanan AFF ini juga berada di luar kalendar Fifa dan kelab tidak wajib untuk melepaskan pemain namun sebagai bekas jurulatih kebangsaan, saya faham akan situasi ini namun kata putus perlu dicapai bagi memastikan skuad Harimau Malaya mampu bersaing dengan baik,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Johor Darul Ta’zim, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC masing-masing mempunyai tugasan di peringkat Asia dan berkemungkinan tidak akan melepaskan pemain-pemain terbaik sekaligus menjadikan pemilihan pemain sedikit sulit buat FAM.

Namun begitu, pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui dia sudah mempunyai beberapa pilihan untuk dilakukan bagi membentuk skuad yang mantap ke kejohanan dwi tahunan merebut kejuaraan Asia Tenggara.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Thailand, Kemboja, Singapura dan Timor Leste untuk kejohanan yang berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.

Sejak diperkenalkan pada 1996, Malaysia berjaya muncul juara sebanyak sekali pada 2010 dan kini berdepan cabaran baharu yang dijangka dipikul pemain-pemain muda yang berpengalaman di pentas antarabangsa.