Kegagalan Harimau Malaya menempah tiket ke final FIFA ASEAN Cup 2026 tidak seharusnya menjejaskan semangat pasukan untuk menutup kempen dengan keputusan positif apabila berdepan Vietnam dalam penentuan tempat ketiga di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, petang ini.

Pertahanan negara, Brad Tapp, mengakui kekecewaan selepas terlepas peluang beraksi di final masih dirasai, namun beliau mahu seluruh pasukan segera mengalihkan perhatian kepada cabaran menentang Vietnam.

Pemain berusia 25 tahun itu menyifatkan perlawanan tersebut sebagai peluang penting untuk Harimau Malaya membuktikan kemampuan sebenar mereka selepas mempamerkan beberapa aksi positif sepanjang kejohanan.

Menurut Tapp, pemain negara perlu mengawal perkara yang berada dalam kemampuan mereka dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam perlawanan terakhir bagi memastikan kempen kali ini berakhir dengan sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Kami sememangnya kecewa kerana tidak bermain di final, tetapi kami bangga dengan usaha yang telah diberikan dalam perlawanan sebelum ini. Kami hanya boleh mengawal apa yang kami lakukan, jadi kami akan memberikan segala-galanya esok (hari ini),” katanya.

Tapp turut memaklumkan bahawa persiapan pasukan berjalan dengan baik, termasuk menganalisis corak permainan Vietnam yang dianggap antara pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Sesi latihan terakhir Harimau Malaya akan dimanfaatkan untuk memperkemaskan perancangan taktikal sebelum pasukan turun menentang Vietnam, dengan Tapp percaya kekuatan skuad negara terletak pada semangat kebersamaan serta kualiti pemain yang dimiliki.

“Kami tahu ia bukan mudah tetapi kami akan terus bersama, berjuang bersama dan memberikan yang terbaik. Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya rasa kami sudah menunjukkan perkara itu sepanjang kejohanan ini,” katanya.

Tapp percaya Harimau Malaya sebenarnya masih mampu pergi lebih jauh dalam kejohanan kali ini dan mahu aksi penentuan tempat ketiga menjadi pentas untuk mereka membuktikan perkara tersebut, sekali gus mengakhiri kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan persembahan yang membanggakan.

Harimau Malaya akan turun dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 hari ini, dengan perlawanan akan bermula jam 5 petang waktu Malaysia.