MALAYSIA mencatat kemenangan dramatik ke atas Timor-Leste dalam perlawanan kedua Kumpulan A Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam Rabu, dengan keputusan 3-2.
Permainan bermula dengan rentak perlahan, di mana kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang berbahaya sepanjang setengah jam pertama. Aksi hambar ini hanya menampilkan percubaan tumpul yang mudah diselamatkan oleh penjaga gol masing-masing.
Malaysia akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-37 apabila hantaran lintang cantik daripada Fergus Tierney disambut kemas oleh Syafiq Ahmad yang menanduk masuk bola untuk meletakkan Malaysia di hadapan dengan jaringan 1-0.

Kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila kelalaian barisan pertahanan Malaysia dihukum oleh Timor-Leste pada minit ke-45. Gerakan pantas pasukan lawan disudahi dengan rembatan padu Olagar Xavier yang gagal dihalang oleh pemain paling hampir, Harith Haiqal.
Dalam masa kecederaan separuh masa pertama, Joao Pedro menambahkan tekanan kepada Harimau Malaya apabila menjaringkan gol kedua Timor-Leste pada minit ke-45+3, hasil daripada serangan balas pantas. Malaysia memasuki bilik persalinan dalam keadaan tertekan dengan ketinggalan 2-1.
Jurulatih Pau Marti melakukan beberapa pertukaran formasi pada separuh masa kedua, dan perubahan tersebut mula menampakkan hasil. Malaysia kembali menunjukkan permainan lebih tersusun, menguasai bola dengan lebih baik dan mencipta peluang berbahaya.

Pada minit ke-60, Najmudin Akmal hampir menyamakan kedudukan, namun rembatan derasnya tersasar. Dua minit kemudian, sepakan Paulo Josue pula melambung tinggi melepasi palang gol.
Malaysia akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70. Paulo Josue melepaskan rembatan kaki kiri yang deras, menjadikan kedudukan 2-2 dan menghidupkan semula harapan pasukan tuan rumah.
Gol kemenangan Malaysia tiba pada minit ke-83 apabila Paolo Josue sekali lagi menjadi wira. Kali ini, hantaran lintang dari sebelah kanan disambut dengan tandukan padu oleh Josue, menewaskan penjaga gol Timor-Leste.
Gol tersebut disahkan selepas semakan VAR, memadam sebarang keraguan.
Perlawanan berikutnya skuad negara akan bertandang ke Bangkok bertemu Gajah Perang dalam aksi getir yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.