PEMAIN sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim, mencipta sejarah tersendiri apabila menerima Darjah Kebesaran Ahli-Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) dalam satu istiadat penuh adat dan tradisi di Istana Alam Shah, Klang, pada Rabu.

Istiadat sempena ulang tahun keputeraan ke-79 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, yang mengiringi keberangkatan baginda.

Faisal Halim, yang kini berusia 26 tahun, merupakan antara 17 penerima Darjah Kebesaran AIS daripada keseluruhan 94 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran yang dikurniakan pada tahun ini.

Mengulas penghormatan yang diterima, Faisal meluahkan rasa syukur dan terharu dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Sultan Selangor.

“Merafak sembah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, diatas pengurniaan anugerah ini.

“Patik dengan rendah diri merasa penuh syukur dan terharu menerima penghargaan ini dan saat ini akan patik kenang selamanya dan pastinya akan menjadi satu motivasi baru untuk patik terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik buat semua. Daulat Tuanku,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram.

Pengiktirafan ini dilihat sebagai suntikan semangat untuk Faisal terus cemerlang dalam aksi bersama skuad Merah Kuning, sekali gus membuktikan keunggulannya sebagai antara pemain bola sepak terbaik di Malaysia.

Selain Faisal, atlet boling kebangsaan Natasha Mohamed Roslan turut menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Darjah Kebesaran Kegemilangan Sukan Selangor (AKS) dalam istiadat yang sama.