KETUA jurulatih skuad B-23 negara, Nafuzi Zain mahu anak buahnya segera bangkit daripada kekecewaan tewas kepada Lubnan dengan menuntut kemenangan wajib ke atas Mongolia dalam aksi kedua Kelayakan Piala Asia B-23 2026 esok.

Menurut Nafuzi, suasana dalam pasukan masih baik namun kekecewaan jelas dirasai kerana kekalahan tersebut tidak sepatutnya berlaku berdasarkan persembahan sebenar pasukan di atas padang. Beliau mengakui keputusan itu memberi kesan besar terhadap emosi pemain yang mudah marah dan kecewa, tetapi menegaskan mereka perlu bangkit segera untuk kembali ke landasan kemenangan.

“Kami tahu Mongolia bukan lawan mudah kerana mereka memiliki kekuatan fizikal, kepantasan dan tenaga. Apa yang penting, kita mesti fokus sepenuhnya dan pastikan tiga mata menjadi sasaran utama. Itu matlamat pertama yang perlu dicapai,” katanya.

Jelas Nafuzi lagi, skuad B-23 sebenarnya memiliki kualiti yang baik berbanding beberapa lawan, namun kegagalan memanfaatkan peluang dan melakukan kesilapan kecil telah menghukum mereka sebelum ini. Beliau mengingatkan pemain agar lebih tajam di depan gol kerana peluang di peringkat antarabangsa jarang datang berulang kali.

“Bila kita lawan Lubnan, peluang banyak tapi tak digunakan. Malah di hujung permainan, kita hilang fokus dan bolos. Jadi kita kena elak perkara sama berlaku lagi. Setiap peluang mesti dimanfaatkan, dan jangan lakukan kesilapan mudah,” ujarnya.

Skuad muda negara kini berdepan tekanan untuk menang dalam baki dua perlawanan menentang Mongolia dan Thailand bagi menghidupkan peluang melayakkan diri ke Piala Asia B-23 2026.