PASUKAN skuasy wanita negara terus menunjukkan taring apabila mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut di Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia selepas menundukkan Jepun 2-1 dalam perlawanan 16 terakhir di Hong Kong Football Club, Hong Kong.
Walaupun bermula dengan cabaran getir selepas Sivasangari Subramaniam tewas kepada pemain utama Jepun, Satomi Watanabe, dengan keputusan 11-3, 11-6, 11-6 dalam tempoh 23 minit, skuad Malaysia tidak mudah menyerah.

Sivasangari Subramaniam tewas kepada pemain utama Jepun, Satomi Watanabe.
Rachel Arnold bangkit memulihkan semangat pasukan dengan kemenangan bergaya ke atas Akari Midorikawa 6-11, 3-11, 6-11 hanya dalam masa 20 minit, sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.
Kemenangan mutlak akhirnya disahkan oleh pemain muda berbakat negara, Aira Azman, yang menewaskan Mahiro Nishio dengan keputusan 5-11, 7-11, 8-11 dalam satu lagi aksi pantas selama 20 minit.
Kemenangan ini melengkapkan kejayaan skuad wanita negara dengan keputusan keseluruhan 2-1.
Ketika ditanya mengenai perlawanan, Rachel meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian pasukan.

Aira Azman menewaskan Mahiro Nishio dengan keputusan 5-11, 7-11, 8-11 dalam satu lagi aksi pantas selama 20 minit.
“Saya rasa pasukan melakukan kerja yang baik dan berjaya. Kami selalu bermain dengan Jepun dalam mana-mana pertandingan pasukan, terutamanya di peringkat Asia.
“Ia satu pertandingan yang sengit, tetapi kami berjaya mengatasinya,” katanya.
Tumpuan kini terarah kepada aksi suku akhir yang dijadualkan esok tengah hari, di mana Malaysia bakal berdepan cabaran besar menentang pasukan pilihan England.
Dengan momentum kemenangan ini, skuad wanita negara berazam untuk terus mengorak langkah ke peringkat separuh akhir.