PERSIAPAN skuad B-23 kebangsaan menuju Piala Mandiri ASEAN B-23 semakin rancak apabila anak buah Nafuzi Zain mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Melaka FC dalam aksi pemanas badan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Ketua jurulatih Nafuzi Zain mengakui beliau masih menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak antarabangsa, namun cukup teruja dengan cabaran baharu ini yang hadir bersama tanggungjawab besar untuk mengemudi Harimau Muda di pentas ASEAN.
“Tekanan tu normal lah sebagai jurulatih. Ini pengalaman baharu untuk saya di pentas antarabangsa dan saya gembira dapat bekerja bersama semua pemain dalam kem ini. Memang mencabar sediakan pasukan dalam masa singkat, tapi semangat mereka luar biasa,” kata bekas pengendali KDA FC itu.

Dalam pada itu, penyerang utama skuad B-23, Fergus Tierney yang beraksi di Liga Thailand musim lalu tampil yakin dan tidak gentar berdepan penyokong fanatik tuan rumah Indonesia dalam kejohanan nanti. Baginya, tekanan di stadium bakal menjadi bahan bakar untuk menampilkan prestasi terbaik.
“Kita nak menang semua perlawanan. Tak kisah siapa lawan kita. Saya dah biasa dengan suasana di Thailand, dan saya harap pengalaman tu boleh bantu pasukan. Bermain depan penyokong Indonesia memang sesuatu yang saya tunggu, sebab tekanan itu kadang boleh hasilkan ‘berlian’,” kata Tierney dengan nada yakin.
Malaysia B-23 akan membuka kempen Piala Mandiri ASEAN B-23 menentang Filipina pada 15 Julai ini diikuti perlawanan menentang Brunei DS sebelum aksi penentuan kumpulan menentang seteru serantau, Indonesia pada 21 Julai nanti.