KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menyifatkan keputusan seri 1-1 menentang Cape Verde bukan sekadar satu keputusan biasa, tetapi cerminan jelas terhadap falsafah bola sepak yang sedang diterapkan dalam skuad kebangsaan.
Menurut Clamovski, aksi menentang pasukan tangga ke-72 dunia itu memberi banyak isyarat positif tentang kemajuan pasukan, terutamanya dari sudut mentaliti dan tahap kesungguhan pemain walaupun kebanyakannya baru sahaja kembali daripada cuti pra-musim.
“Ia adalah satu cerminan daripada apa yang kami lakukan setiap hari bersama. Cara kami berlatih, semangat kami ketika sesi latihan, dan disiplin kami di luar padang. Ramai pemain baru sahaja menjalani latihan 5 hingga 10 hari selepas musim liga tamat, tapi tetap tampil profesional dan beraksi pada tahap tinggi,” kata Clamovski selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Tambahnya, perlawanan ini juga dianggap sebagai fasa ‘pra-musim mini’ bagi skuad negara dalam membina kecergasan dan struktur permainan yang lebih mantap menjelang perlawanan kompetitif akan datang.
“Cape Verde memiliki beberapa pemain bertaraf dunia dan mereka benar-benar menguji kami. Cara mereka bergerak dan mencipta ruang beri tekanan kepada pertahanan kami, tapi saya bangga kerana pemain berjaya menyesuaikan diri dan menjadi lebih agresif sepanjang perlawanan,” ujarnya.
Dari sudut teknikal, Clamovski mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki sama ada ketika bertahan mahupun menyerang. Namun beliau gembira dengan peningkatan prestasi anak buahnya sepanjang 90 minit permainan.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski
“Kami mula kuasai bola, cipta banyak peluang dan sepatutnya boleh jaringkan lebih dari satu gol. Kami kecewa tidak menang, tetapi tetap ambil sisi positif untuk terus berkembang dan menjadi pasukan yang kami impikan.”
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Cape verde pada 3 Jun sebelum aksi getir menentang Vietnam 10 jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.
PIX:FAM