KESILAPAN penjaga gol negara, Haziq Nadzli, menjadi detik pemisah yang meranapkan impian Malaysia untuk membawa pulang mata berharga dari Stadium Rajamangala apabila tewas 0-1 kepada Thailand dalam aksi ketiga Kejuaraan ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024, malam tadi.
Dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencari jaringan di separuh masa pertama, kesilapan fatal Haziq pada minit ke-57 akhirnya membuka ruang buat pasukan tuan rumah.
Bola yang sepatutnya dikeluarkan dari kawasan bahaya tersangkut di kaki Suphanat Mueanta sebelum dihantar kemas kepada Patrik Gustavsson untuk disudahkan dengan mudah. Ia mengimbau kembali detik pahit pada Sukan SEA 2017, apabila kesilapan Haziq juga menjadi punca kekalahan Malaysia di pentas final menentang lawan yang sama.
Malaysia, yang turun dengan formasi 4-3-3 di bawah kendalian Pau Marti, mempamerkan permainan bertenaga di separuh masa pertama meskipun tekanan tinggi dilakukan Thailand.
Barisan serangan yang diketuai Haqimi Azim beberapa kali mengucar-ngacirkan pertahanan skuad Changsuek, namun kegagalan dalam penyudah terus menghantui Harimau Malaya. Hantaran lintang Adib Raop dan percubaan-percubaan dari Endrick Dos Santos serta Fazrul Amir tidak cukup untuk memecah kebuntuan.
Di sebalik usaha skuad negara, Thailand di bawah kendalian Masatada Ishii menunjukkan ketenangan dan disiplin dalam bertahan. Malah, mereka kerap kali menyerang balas dengan bahaya melalui pemain seperti Suphanat dan Ekanit Panya.

Hanya kecemerlangan Khuzaimi Piee dan pertahanan negara yang berjaya menafikan peluang-peluang tersebut di separuh masa pertama.
Namun, perlawanan mula berubah selepas jaringan Thailand pada minit ke-57. Harimau Malaya meningkatkan tekanan dan hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan voli cantik Endrick pada minit ke-62, tetapi diselamatkan oleh penjaga gol Thailand, P. Khammai.
Masalah kecederaan Adib Raop pada minit ke-82 semakin menyukarkan usaha Malaysia untuk bangkit, meskipun permainan diteruskan dengan kemasukan pemain gantian seperti Danial Amier dan debut Daryl Sham.

Dengan kekalahan ini, tekanan kini memuncak buat Malaysia. Pasukan negara wajib menewaskan Singapura dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember ini, sambil mengharapkan Thailand mampu menundukkan Singapura pada 17 Disember di Stadium Nasional Singapura.
Sekiranya perlawanan antara Thailand dan Singapura berakhir dengan keputusan seri, peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir berkemungkinan besar akan tertutup.
Malaysia kini berada di kedudukan ketiga kumpulan A dengan empat mata selepas tiga perlawanan, sementara Singapura mengungguli kumpulan dengan enam mata selepas menewaskan Timor Leste 3-0.
Thailand pula mengumpul enam mata tetapi memiliki kelebihan perbezaan jaringan yang besar hasil kemenangan 10-0 ke atas Timor Leste sebelum ini.
Walaupun barisan pemain muda seperti Jimmy Raymond dan Haqimi Azim memperlihatkan peningkatan ketara dari segi permainan, kegagalan pasukan dalam menyempurnakan peluang dan kesilapan individu yang berulang terus menjadi isu besar buat Harimau Malaya.

Misi hidup mati menanti Harimau Malaya di Bukit Jalil, dan sokongan penyokong tempatan pasti akan menjadi tonik penting buat pasukan untuk terus berjuang demi memburu tempat di separuh akhir.
FOTO:FAM