KETUA Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Soleen Al-Zoubi tetap memuji barisan pemainnya biarpun pulang dengan tangan kosong dalam acara bola sepak wanita pada temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Meskipun dia sudah menjangka keputusan yang bakal diperolehi, namun apa yang ditunjukkan anak-anak buahnya memberikan keyakinan buatnya bahawa pasukan ini mampu menjadi pencabar utama Sukan SEA selepas ini.

Soleen Al-Zoubi

“Seperti saya katakan sebelum ini, keputusan adalah dijangka namun banyak perkembangan postitif yang kami perolehi dan boleh kami kembangkan untuk masa depan kerana ini baharulah di peringkat permulaan bola sepak wanita.

“Saya gembira dengan semangat pemain terutama pemain muda kerana beraksi dengan berani ketika menentang lawan yang lebih kuat dan mempunyai ranking lebih tinggi namun mereka membuktikan mereka mempunyai masa depan yang baik dan saya percaya mereka akan menjadi pesaing yang hebat di Sukan SEA akan datang,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sementara itu, Soleen yang juga Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM turut mengakui bahawa idea untuk membawa pemain dari luar untuk mewakili negara adalah baik.

“Jika berpeluang untuk mencari pemain dari Amerika Syarikat atau United Kingdom, ia adalah idea yang bagus tetapi bagi saya ada perkara yang lebih penting dari itu iaitu kesetiaan pemain terhadap negara kerana mereka lebih baik daripada pemain yang tidak pernah bermain untuk negara mereka,” ujarnya.

Soleen berkata selepas ini keutamaan utamanya dan barisan kejurulatihan adalah memantau perkembangan bola sepak wanita di seluruh negara bagi mengenalpasti pemain-pemain berpotensi yang sebelum ini tidak mendapat peluang untuk menyertai kem latihan pusat.

“Kami akan melihat pemain-pemain yang mana sebelum ini kami tidak berkesempatan untuk melihat mereka kerana kebanyakan pemain yang dipanggil ketika ini adalah dari Liga Wanita Selangor sahaja. Sudah pasti selepas ini kami akan menjelajah ke seluruh negara untuk mengenal pasti pemain berpotensi untuk dipanggil menyarung jersi kebangsaan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Soleen juga berharap semua pihak terutama media untuk memberikan sokongan kepada para pemainnya kerana mereka sangat memerlukan sokongan daripada semua pihak dan sudah sampai masa untuk memandang serius kepada perkembangan bola sepak wanita dalam negara ini.