SINGAPURA terpaksa menunggu sehingga minit ke-76 untuk memecahkan kebuntuan sebelum sepakan penalti oleh Kyoga Nakamura dan gol berganda daripada Shawal Anuar memastikan kemenangan 3-0 ke atas Timor-Leste, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024.

Bertempat di Stadium Hang Day, Hanoi, Singapura mempamerkan aksi kurang memberangsangkan pada separuh masa pertama menentang pasukan yang menduduki tangga ke-196 dalam ranking Fifa.

Namun, pasukan bimbingan Tsutomu Ogura bangkit mempamerkan prestasi lebih baik pada separuh masa kedua dan berjaya meraih kemenangan penting ini.

Keputusan tersebut meletakkan Singapura di puncak Kumpulan A dengan enam mata. Malaysia di tempat kedua dengan empat mata selepas dua perlawanan, manakala Thailand di tangga ketiga dengan tiga mata selepas satu perlawanan.

The Lions akan berdepan Thailand dalam perlawanan seterusnya, yang sebelum ini mencatat kemenangan besar 10-0 ke atas Timor-Leste dalam perlawanan pembukaan mereka.

FOTO : ASEAN FOOTBALL