SELEPAS perlawanan Kejuaraan ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024, kira-kira 30 peminat bola sepak Malaysia telah terlibat dalam perbalahan dengan peminat bola sepak Thailand di sekitar Pintu E, Stadium Rajamangala menyebabkan beberapa penyokong Harimau Malaya mengalami kecederaan.
Pihak polis telah mengambil langkah segera dengan menghalang sementara pengunjung daripada meninggalkan stadium dan menyediakan bas untuk memastikan keselamatan mereka.
Sebelum perlawanan, segelintir penyokong Gajah Perang dipercayai dari Ultras Thailand melakukan nyanyian provokasi, ‘Malaysia Itu AXJXXG’.
Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Thailand dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A Piala AFF Mitsubishi Electric.
Ia adalah kekalahan pertama skuad negara selepas tiga perlawanan untuk menduduki tangga ketiga dengan empat mata selepas mengikat Kemboja 2-2 dan menewaskan Timor Leste 3-2.
Selepas ini, Malaysia akan bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat depan, yang mungkin menjadi aksi penentu hala tuju pasukan untuk mengintai peluang ke separuh akhir.
FOTO : MAIN STAND