MALAYSIA yang bakal menganjurkan Pestabola Merdeka edisi ke-43 pada September nanti, tampak masih belum memiliki jawapan tepat mengenai penggunaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Empat pasukan yang bakal berentap untuk merebut trofi juara semestinya sudah bersedia untuk berdepan saingan ini. Malaysia, Filipina, Lubnan dan tidak lain tidak bukan, juara bertahan Pestabola Merdeka pasukan Tajikistan.
Saingan antara keempat-empat skuad gergasi Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nanti bagaimanapun masih belum diputuskan sama ada menggunakan sistem VAR atau tidak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed memberi jawapan yang masih kabur dan perbincangan mengenai pengunaan VAR masih belum menemui titik noktah.

Mohd Firdaus ketika ditemui di Wisma FAM pada Selasa.
“Mengenai VAR, kita ada berbincang soal itu. Pihak FAM sekarang masih dalam perbincangan untuk sediakan VAR bagi kejohanan kali ini, dan sebarang keputusan masih belum diputuskan lagi,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mendedahkan serba sedikit mengenai pengadil yang akan digunakan sewaktu kempen Pestabola Merdeka pada 4 dan 8 September nanti.
“Kita menggunakan pengadil luar negara, kami tidak mahu dianggap syok sendiri. Kejohanan ini di bawah kalendar Fifa. Beberapa pengadil Asia telah dikenal pasti, yang penting bertaraf Fifa dan memiliki pengalaman mencukupi,” tambah Firdaus.
Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi cabaran pertama Pestabola Merdeka dengan ancaman daripada pasukan Filipina setelah diundi pada Majlis Undian Pestabola Merdeka semalam.