Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui isu pelepasan pemain daripada kelab menjadi cabaran terbesar dalam usaha mempersiapkan skuad negara menjelang saingan Piala Hyundai ASEAN 2026.
Menurut beliau, kejohanan yang berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA sememangnya menyukarkan proses membentuk pasukan apabila beberapa kelab masih menjalani persiapan pramusim.
Walaupun berdepan situasi mencabar, bekas pengendali Kedah dan Selangor itu tetap bersyukur diberi kepercayaan sekali lagi mengemudi skuad kebangsaan.
“Saya cukup terharu apabila diberi tanggungjawab sebagai jurulatih interim Harimau Malaya. Ia satu penghormatan besar buat saya.
“Dalam masa sama, saya melihat situasi ini sebagai satu cabaran kerana kejohanan AFF berlangsung di luar kalendar FIFA dan sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kelab-kelab yang bersedia melepaskan pemain walaupun sedang menjalani latihan pramusim.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab yang memberi kerjasama. Ada yang melepaskan pemain dan ada juga yang tidak dapat berbuat demikian.
“Itulah realiti yang perlu kami hadapi dan sebagai jurulatih, saya kekal positif dengan pemain yang ada,” katanya.
Mengulas mengenai pemilihan Wan Kuzain Wan Kamal, Tan Cheng Hoe menjelaskan pemain tengah itu menunjukkan komitmen tinggi untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Beliau berkata, barisan kejurulatihan turut memantau prestasi Wan Kuzain walaupun pemain berusia 28 tahun itu kini beraksi di Liga Dua Amerika Syarikat.
“Saya melihat dia begitu bersemangat untuk kembali mewakili negara. Prestasinya sentiasa dipantau dan kami percaya dia mampu memberi sesuatu kepada pasukan.
“Dia dijangka menyertai kem latihan selepas selesai komitmennya bersama kelab di Amerika Syarikat,” katanya.