KEJOHANAN Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 bakal membuka tirai dengan perlawanan menarik antara Malaysia dan Kemboja di Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh pada Ahad.
Dalam aksi pembukaan ini, skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Pau Marti dijangka akan turun dengan misi membawa pulang tiga mata berharga bagi memulakan kempen dengan cemerlang.
Skuad Malaysia kali ini menampilkan campuran pemain berpengalaman dan pemain muda daripada skuad bawah 23 tahun, seperti Harith Haiqal, Haziq Aiman dan Haykal Danish.
Harith Haiqal, 22, menggantikan pemain Negeri Sembilan FC, Muhammad Harith Samsuri, 24, yang mengalami kecederaan manakala Haziq Aiman, 19, pula menggantikan penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim, 23, kerana masalah kesihatan.
Sementara seorang lagi pemain iaitu Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, 19, dari Selangor FC B-23 turut dipanggil menyertai kem skuad Harimau Malaya sebagai pemain tambahan jika berlaku kecederaan atau sebarang kemungkinan ke atas pemain-pemain lain.
Kombinasi ini memberi keseimbangan tenaga serta pengalaman, namun isu konsistensi di bahagian pertahanan menjadi cabaran besar, sebagaimana dilihat dalam kekalahan 4-0 kepada New Zealand Oktober lalu.
Ketua jurulatih Pau Marti dijangka terus menggunakan pendekatan menyerang dengan permainan pressing tinggi, memanfaatkan kelajuan pemain sayap dalam mencipta peluang.
Kemboja pula, walaupun rekod pertemuan tidak menyebelahi mereka (Malaysia menang semua 8 pertemuan terakhir), tetap memiliki senjata utama seperti Soeuy Visal.
Pertahanan berusia 29 tahun ini dikenali dengan kemampuan memenangi bola dalam situasi genting dan menjadi tonggak penting di barisan pertahanan.
Dengan semangat juang yang tinggi, mereka akan berusaha memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri.
Pemain tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba, yang juga salah seorang kapten pasukan, menyatakan bahawa mentaliti skuad adalah menganggap setiap perlawanan seperti final.
“Kami mahu pergi sejauh mungkin dan memberi kebanggaan buat negara,” katanya.
Dia turut optimis bahawa gabungan pemain muda dan senior mampu menghasilkan sesuatu yang bermakna buat Malaysia.
Statistik turut menyokong keyakinan buat Harimau Malaya, dimana dalam lima perlawanan terakhir, Malaysia mencatat dua kemenangan dan satu seri, berbanding Kemboja yang hanya menang sekali.
Kemenangan terkini Malaysia ke atas Kemboja pada tahun 2022 dengan jaringan besar 4-0 juga menjadi bukti dominasi mereka sebelum ini.
Perlawanan ini akan disiarkan secara langsung di Astro dan platform lain di seluruh ASEAN.
Para penyokong Malaysia digalakkan terus memberi sokongan sama ada dari stadium atau di layar kaca, kerana aura penyokong mampu menjadi pendorong kepada skuad kebangsaan untuk mencatat kemenangan.
Dengan semua mata kini tertumpu ke Phnom Penh, mampukah Harimau Malaya memulakan kempen dengan langkah kanan?
Jawapannya bakal terungkai esok Ahad. Jangan lupa saksikan!