SKUAD Harimau Malaya akan menjalani sesi latihan selama empat hari di Bangkok, Thailand sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 31 Mac ini.
Menurut kenyataan rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), skuad kendalian Peter Cklamovski akan memulakan latihan pusat di Kuala Lumpur bermula Isnin ini sebelum meneruskan persiapan di Bangkok dari 24 hingga 27 Mac.
Selepas tamat kem latihan di Thailand, pasukan dijadual berlepas ke Nam Dinh, Vietnam pada 28 Mac bagi menghadapi perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Thien Truong.
“Latihan pusat di Kuala Lumpur dan Bangkok diadakan sebagai persiapan menghadapi Vietnam bagi aksi timbal balik Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mac di Stadium Thien Truong, Nam Dinh,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, skuad kebangsaan menerusi laman Facebook Malaysia NT mengumumkan senarai 28 pemain yang dipanggil oleh Cklamovski bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya.
Jurulatih kelahiran Australia itu mengekalkan 22 pemain daripada skuad yang berdepan Nepal dalam aksi kelayakan pada 18 November lalu selain membawa masuk dua muka baharu iaitu Muhammad Feroz Baharudin dan Muhammad Syahmi Safari.
Selain itu, penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa turut dipanggil sebagai sebahagian daripada program pembangunan penjaga gol.
Dalam masa sama, seramai 13 pemain termasuk penyerang naturalisasi Jordan Mintah disenaraikan dalam senarai bersedia sekiranya berlaku perubahan dalam barisan 28 pemain utama.
Pertemuan menentang Vietnam itu menjadi aksi pelengkap jadual kumpulan selepas impian Harimau Malaya untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2027 tidak kesampaian susulan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkaitan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain.
Keputusan tersebut turut menyaksikan Vietnam muncul juara kumpulan dan mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.