FOTO : MFL
SABAH FC mensia-siakan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi suku akhir Piala FA 2023 di Stadium Likas, sebentar tadi.
Namun begitu, The Rhinos mendapat gol pertama menerusi penalti yang disempurnakan oleh Gabriel Peres pada minit keenam selepas larian Jailton Paraiba dijatuhkan pertahanan lawan.
KL City tidak panik sebaliknya menyusun rentak permainan dan hasilnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi satu penyudah tajam Romel Morales yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat. Gol itu berpunca daripada hantaran berkualiti dilakukan oleh Declan Lambert m-29.

Morales membuka akaun gol pertama untuk KL City aksi suku akhir di Likas, petang tadi.
Gawang Sabah bocor lagi apabila lambungan jauh Zhafri Yahya dari kawasan sendiri cuba dikawal Rizal Ghazali tetapi sempat dirampas T Saravanan untuk menjaringkan gol kedua buat skuad The City Boys sebelum menuju bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua tampak melakukan serangan khususnya Sabah yang dalam usaha mendapat penyamaan tetapi semuanya gagal.
Pertukaran turut dibuat Datuk Ong Kim Swee, bezanya pemain pelawat dapat membaca setiap gerakan dan taktikal yang direncanakan sepanjang babak kedua dan kedudukan ini kekal hingga tiupan wisel penamat.
KL City akan bertemu Terengganu FC di peringkat separuh akhir dan merintis kemungkinan laluan kembali ke final sejak kali terakhir melakukannya pada 1999 dan muncul pemenang.