TERENGGANU FC (TFC) menempah slot ke separuh akhir Piala FA selepas mengatasi cabaran Kelantan FC 4-2 di peringkat suku akhir di gelanggang sendiri, petang Sabtu.

Kemenangan itu membolehkan Sang Penyu membuat perhitungan dengan pemenang antara Sabah dan KL City FC bagi merebut tiket ke pentas final.

TFC bermula garang dengan tandukan Ivan Mamut dan Engku Nur Shakir Engku Yaacob pada awal permainan menguji pintu gol pelawat yang dikawal Nik Mohd Amin Ahmad.

Bek kanan Penyu, Azam Azmi Murad yang naik ke atas berjaya memecahkan kebuntuan minit ke-17 hasil rembatan deras dari dalam kotak penalti untuk gol pembukaan TFC.

Azam Azmi (kiri) meledak gol pertama Terenggani FC.

Tuan rumah terus ceria selepas bola percubaan akrobatik Mamut menerjah jaring malangnya gol tersebut dibatalkan kerana penyerang itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Pemain kidal itu bagaimanapun tidak mensia-siakan peluang dengan rembatan lencong dari luar kotak menewaskan penjaga gol sekaligus menjadikan kedudukan 2-0 minit ke-41.

Kelantan FC merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-45 selepas Ismahee Akinade menghukum kelekaan pertahanan TFC yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Bersambung babak kedua, TFC kembali berkelebihan dua gol setelah umpanan Habib Haroon singgah di kaki Sony Norde (m-53) yang menggelecek penjaga gol lalu mudah meletakkan kedudukan 3-1.

Kelantan FC menghidupkan peluang menerusi Akinadi yang menyudahkan sepakan penalti minit ke-64 gara-gara kekasaran Shahrul Nizam Roshasni ke atas penyerang pelawat itu.

Pemain sayap, Syafik Ismail (m-82) membunuh semangat Kelantan FC hasil ledakan menarik kaki kiri di penjuru kotak penalti untuk memastikan kemenangan 4-2 memihak TFC.

Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner memberitahu perlawanan ini sepatutnya ‘mudah’, namun sebaliknya berlaku.

“Kami memberi mereka dua gol kerana kesilapan. Saya tidak mahu menyalahkan secara individu tetapi mereka tahu. Perlawanan ini sepatutnya mudah tetapi tidak.

“Selepas perlawanan menang 5-0 daam Liga Super, semua orang jangka akan mudah tetapi tiada perlawanan yang mudah. Namun tahniah kepada semua pemain kerana kita capai sasaran,” jelasnya selepas perlawanan.

Untuk rekod, TFC  berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA untuk tiga musim berturut-turut.