ATAS kertas segalanya tampak mustahil buat Perak FC untuk bermimpi mengejutkan gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana jurang pemisah kedua-dua pasukan bagaikan langit dan bumi.
Kekalahan demi kekalahan dialami The Bos Gaurus juga membuatkan penyokong mereka seakan patah hati kerana diberikan harapan menggunung setiap kali perlawanan.
Kesudahannya, penamat 90 minit umpama angan-angan kosong buat peminat setia selepas dihadiahkan siri kekalahan dan mungkin ada antara mereka berasa ‘rugi’ mengeluarkan kantung membeli tiket.
Rekod anak buah Datuk Lim Teong Kim juga tidak begitu memberangsangkan apabila hanya berjaya meraih satu kemenangan selepas tampil enam aksi Liga Super musim ini.
Berdepan JDT, pemerhati menjangkakan gawang Perak bakal dirobek habis-habisan walaupun pelawat mengendurkan asakan permainan psikologi mengatakan harus berhati-hati ketika kunjungan di Ipoh pada Selasa.
Pun begitu, semangat pemain muda Seladang sebenarnya tidak harus dipandang enteng. Acap kali pertemuan bertemu JDT sentiasa menghadirkan tentangan sengit sehingga tamat wisel penamat.
Berbeza pula kem JDT di bawah pengawasan bimbingan Esteban Solari yang tampil menakjubkan dengan mencatat rekod kemenangan 100 peratus selepas enam perlawanan.
Satu persatu pasukan yang ditemui mudah dipatahkan, dibenam termasuk dibelasah dengan jaringan gol yang besar.
Sehingga kini, JDT bagaikan raksasa yang sedang marak ke depan dan sukar lagi ditumbangkan mana-mana kelab berdasarkan prestasi semasa.
Buktinya, 25 gol yang menerjah jaring pasukan lawan membuktikan jentera serangan JDT begitu menggila dan menyaksikan hanya sekali bolos. Itupun, menerusi sepakan penalti ketika melayan kunjungan Kelantan FC (juga dibelasah 4-1).
Bagaimana pula penamat kisah kedua-dua pasukan yang boleh dikatakan sentiasa bermusuhan pada Selasa. Ayuh, para peminat jom ramai-ramai gegar Ipoh.
Pihak penganjur juga memeriahkan bahang saingan mengadakan Jom Gegor Ipoh yang kini kembali dengan lebih banyak aktiviti serta penyertaan jenama-jenama terkenal baharu menanti pengunjung pada bulan Ramadan ini!
Moh warga Ipoh ke Stadium Perak!