PELUMBA trek kebangsaan, Muhammad Ridwan Sahrom, tampil dengan azam besar memburu podium keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026 di Tagaytay, Filipina, dari 25 hingga 31 Mac ini sebagai sasaran utama musimnya.

Di sebalik ketidaktentuan gandingan termasuk kemungkinan ketiadaan abangnya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Ridwan menegaskan komitmennya kekal utuh demi menyahut cabaran negara.

“Sedih itu memang ada sebab kalau ada abang, perancangan strategi mungkin lebih kemas, tapi sebagai atlet kebangsaan, saya perlu bersedia dalam apa jua situasi,” katanya.

“Siapa pun yang digandingkan bersama saya, sasaran tetap sama iaitu memberi saingan terbaik untuk Malaysia,” katanya lagi, memperlihatkan kematangan dan fokusnya menjelang kejohanan.

Muhammad Ridwan Sahrom buru kemasyhuran di peringkat Asia.

Juara Asia Tenggara itu turut menjelaskan persiapan skuad trek negara kini berada di landasan positif dengan latihan intensif memasuki fasa ‘strength block’ sebelum beralih kepada ‘speed block’.

“Sekarang latihan agak berat dan fokus kepada kekuatan, dua atau tiga minggu sebelum ke Filipina kita akan masuk fasa kelajuan supaya persiapan lebih seimbang,” katanya.

Dalam acara pecut berpasukan, Ridwan dijangka bergandingan bersama Fadhil Zonis dan Akmal Nazimi bagi menghadirkan cabaran serius kepada pasukan pilihan Asia.

“Tahun lalu saya keempat dalam acara pecut, kali ini sasaran saya adalah keirin dan saya mahu berada dalam kelompok lima terbaik dengan harapan membawa pulang pingat walaupun berdepan Jepun, China dan Korea,” katanya.