NAMA Danish Iftikhar Muhammad Roslee terus meniti di bibir peminat olahraga negara, namun persoalan besar timbul apabila pemenang pingat Sukan SEA itu masih belum berada dalam program Majlis Sukan Negara (MSN).
Pelari pecut berusia 19 tahun itu mengakui sehingga kini dia tidak menandatangani sebarang kontrak dengan MSN, sekali gus mencetus tanda tanya mengenai hala tuju pengurusan atlet muda berprofil tinggi itu.
Bagi Danish dia enggan ambil pusing, fokusnya jelas apabila menyerahkan sepenuhnya urusan pentadbiran kepada bapanya yang juga jurulatih, Muhammad Roslee Ismail, sambil menjadikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pangkalan latihan utama.

“Saya memang tidak menandatangani apa-apa kontrak dengan MSN dan hanya mempunyai kontrak serta menerima elaun daripada SUKMA Johor,” katanya ringkas ketika ditemui pada satu majlis anjuran Olahraga Malaysia (MA) baru-baru ini.
Walaupun tanpa program MSN, atlet kelahiran Johor itu tetap menyerlah apabila meraih gangsa 100 meter dan perak 4×100 meter di Sukan SEA Thailand 2025, selain memecahkan rekod kebangsaan 200 meter.
Malah, catatan peribadi terbaik 10.18 saat dalam 100 meter menjadikannya yang terpantas sepanjang 2025 selai gelaran juara SUKMA Sarawak 2024 menguatkan lagi reputasi Danish sebagai aset penting pecut negara.
Dalam pada itu, Roslee mendedahkan Danish hanya menerima tawaran menyertai Program Projek Larian 100 Meter Bawah 10 Saat (B10) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, dengan sebarang tawaran daripada MSN masih belum diterima.
Dalam senyap, Danish terus melangkah fokus mempersiapkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Oregon, Amerika Syarikat, Ogos depan, sambil prestasinya kekal menjadi jawapan terbaik kepada segala persoalan.