PENUBUHAN Pusat Kecemerlangan BMX Asia dengan kelulusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), pasti mampu menjadikan Malaysia sebagi sebuah negara yang melahirkan bintang ternama sukan itu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, menerusi perbincangan berhubung penubuhan pusat serantau itu pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UCI di Switzerland, dua minggu lalu, badan induk berbasikal dunia itu secara terbuka bersetuju menjadikan Malaysia sebagai hab bagi disiplin BMX.

“Penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia telahpun dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif UCI baru-baru ini. Pada dasarnya UCI bersetuju memilih Malaysia sebagai lokasi Pusat Kecemerlangan BMX Asia di Malaysia.

“Johor adalah lokasi yang PKBM rancang membina Pusat Kecemerlangan BMX Asia ini. Senma kertas kerja telah dikemukakan dan saya telah bermesyuarat dengan Pengarah World Cycling Centre mengenai penubuhan ini,” kata Amarjit, dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM hari ini.

Sebelum ini, pada 2014, bekas Presiden, Datuk Abu Samah Abd Wahab mengumumkan akan menubuhkan Pusat Kecemerlangan BMX Asia di Melaka atau Selangor, selepas mengadakan kunjung hormat di pejabat Presiden UCI, Brian Cookson di Switzerland.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill mengakui UCI menyokong penuh penubuhan pusat kecemerlangan BMX Asia di Malaysia.

Ketika itu, Malaysia mensasarkan penyertaan pelumba BMX pada Sukan Olimpik 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat sebagai manfaat penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia.

Malangnya rancangan tersebut gagal untuk direalitikan atas beberapa sebab tertentu.

Bagaimanapun, Amarjit yakin penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia kali ini akan menjadi kenyataan dan beliau menyatakan akan membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai satu formaliti.

“Saya akan berbincang dengan YB Menteri berhubung perkara ini. Saya berpendapat pembinaan Pusat Kecemerlangan BMX Asia boleh menjadikan Malaysia sebagai antara kuasa besar dalam disiplin BMX nanti,” katanya.

Litar perlumbaan acara BMX juga ada disediakan di sekitar Veledrom Nasional, di Nilai.

Pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, Malaysia telah menghantar 3 pelumba trek iaitu Datuk Azizulhasni Awang, Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, selain pelumba lebuh raya wanita, Nur Aisyah Mohamad Zubir yang berjaya melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik 2024.

Malangnya, pemenang pingat Sukan SEA di Kemboja pada 2023 itu gagal untuk menamatkan perlumbaan sejauh 158 kilometer yang diadakan di Trocadero, Perancis.

Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) turut menyatakan keyakinannya untuk merealisasikan rancangan kali ini sekali gus menyakinkan Malaysia akan menjadi kuasa terbaru dalam disiplin BMX.

“Suasana kali ini jauh berbeza. Kali ini saya ada sokongan padu Presiden UCI David Lappartient dan ACC. Saya akan pastikan penubuhan Pusat Kecemerlangan BMX Asia ini menjadi kenyataan,” katanya.