PEMILIHAN jaguh 400 meter (m) kebangsaan ke Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo, diharap mampu memberi bayangan emas untuk Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menyifatkan pemilihan itu sebagai peluang besar buat Umar membuktikan kemampuannya di pentas tertinggi.
“Pemilihan MA (Olahraga Malaysia) terhadap wakil Malaysia ke Kejohanan Dunia, di mana Umar telah pun terpilih dan kita harap Umar dapat menggunakan kesempatan ini untuk mencatatkan pencapaian terbaik beliaulah,” katanya, ketika menyambut kepulangan wushu negara dari Brazil, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Jefri menegaskan sasaran utama kini adalah melihat Umar mampu menembusi catatan di bawah 46 saat sebagai kayu ukur persiapan ke temasya Sukan SEA.
“Kita masih nak lihat beliau mencatat bawah 46 saat, supaya menempah slot dia ke Sukan SEA nanti dan kita boleh sure dalam kedudukan pingat, pingat emaslah,” katanya lagi.
Beliau bagaimanapun mengingatkan ancaman utama Umar bakal hadir daripada pelari Thailand yang ketika ini memiliki catatan masa lebih baik.
“Jadi, kesempatan bertanding di Kejohanan Dunia ini menjadi satu platform untuk beliau bersedia ke Sukan SEA nanti,” jelas Jefri.
Umar memiliki catatan terbaik 46.09 saat, dijangka memulakan aksi di Kejohanan Dunia di Tokyo pada Ahad ini. Kejohanan Dunia akan membuka tirai saingan pada 13 hingga 21 September.