KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu desas-desus yang berlegar di media sosial mengenai Brendan Gan menyertai skuad The Rhinos ditutup selepas dia menyatakan pasukan itu tidak akan menandatangani mana-mana pemain setakat ini.
Brendan yang mengumumkan perpisahan dengan Selangor FC kini bebas menyertai mana-mana pasukan dan Sabah FC dikatakan salah satu destinasi yang mungkin sesuai buat pemain berusia 35 tahun ini.
Namun, Kim Swee yang sedang mempersiapkan pasukan untuk menghadapi perlawanan separuh akhir zonal Piala AFC menentang Macarthur FC dari Australia berkata tidak ada arahan dari pengurusan untuk mengambil mana-mana pemain.

Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee
“Saya ingin jelaskan kepada semua peminat yang mendapat khabar dari media sosial bahawa kita tidak mempunyai perancangan untuk mengambil mana-mana pemain termasuk pemain import kecuali mendapat kebenaran dari pihak pengurusan.
“Buat masa ini pihak pengurusan telah memaklumkan pada saya di mana kita harus mengekalkan pemain sedia ada dan untuk tidak berbelanja besar dan kami akan kekal dengan pemain sedia ada untuk musim ini,” katanya.
Sementara itu menjelang aksi Piala AFC, Kim Swee mahu pengalaman yang ditimba pemainnya seperti Darren Lok, Daniel Ting, Dominic Tan dan Stuart Wilkin di Piala Asia dapat digunakan ketika menentang lawan dari Australia itu.

“Sudah tentu saya mahukan pengalaman yang ada pada mereka di Doha untuk membantu pasukan tetapi kita perlu sedar yang bola sepak adalah perlawanan berpasukan dan semua pemain perlu memberikan yang terbaik ketika beraksi,” jelasnya.
Bekas pengendali skuad B-23 tahun kebangsaan itu juga menjelaskan semua pemain berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk beraksi dalam aksi kalah mati di Campbelltown.