SARAWAK Sports Corporation (SSC) telah mengemukakan permohonan untuk menyertai Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai Ahli Bersekutu melalui suratnya bertarikh 20 Julai 2022.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia Datuk Mohd Sumali Reduan (gambar) berkata, SSC merupakan salah satu anak syarikat Kerajaan Negeri yang ditubuhkan di bawah Ordinan Sukan Negeri Sarawak yang diamanahkan untuk merancang dan melaksanakan program-program pembangunan sukan di seluruh negeri.

“Jawatankuasa Tertinggi PSM telah bersetuju menerima SSC sebagai Ahli Bersekutu PSM dan yakin dengan penyertaan SSC akan dapat memanfaatkan bukan sahaja pembangunan sukan sepaktakraw di negeri Sarawak.

“Malah akan turut memberikan impak yang positif di dalam arena sepaktakraw di dalam negara,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Sehingga kini, PSM menaungi 11 Ahli Gabungan dan 5 Ahli Bersekutu.