KETUA jurulatih skuad kebangsaan B22, E. Elavarasan masih belum mempunyai bayangan siapakah 20 pemain yang akan dipilih barisan kejurulatihannya untuk dibawa ke temasya Sukan SEA 2023 Kemboja pada Mei.

Meskipun berjaya menjuarai Piala Merlion di Singapura baru-baru ini, namun itu bukanlah indikator siapakah yang akan dipilih untuk menggalas tugasan negara ke Kemboja bagi menghadapi saingan Kumpulan B.

Elavarasan juga menegaskan sesi latihan pada Sabtu adalah lebih kepada sesi pemulihan kerana majoriti pemainnya baru selesai bermain dalam perlawanan liga pada Khamis dan Jumaat dan dia hanya mahukan yang terbaik dari setiap pemain.

E Elavarasan

“Belum ada lagi. Hari ini hari pertama kita kumpulkan skuad ini dan ada pemain-pemain yang semalam ada perlawanan datang dalam proses recovery, tetapi sekurang-kurangnya bagus kerana kita dapat kumpulkan pemain-pemain ini.

“Cuma kita tidak dapat pemain seperti Luqman Hakim dan Nooa Laine yang berada di Eropah. Kita masih kekalkan skuad yang kita guna masa Piala Merlion baru-baru ini dan kita tambah Mukhairi Ajmal dan dua tiga pemain baru,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM Kelana Jaya.

Minggu lalu, Elavarasan telah memanggil 25 pemain untuk menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi temasya Sukan SEA dan mempunyai tempoh kurang tiga hari untuk membuat keputusan siapa yang akan dibawa ke Phnom Penh, Kemboja.

Skuad Harimau Muda akan membuka tirai saingan bertemu Laos pada 3 Mei, sebelum menentang Thailand (6 Mei), Vietnam (8 Mei) sebelum menerima cabaran Singapura pada 11 Mei.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara memenangi emas adalah pada 12 tahun lalu di Jakarta ketika dibawah kendalian Datuk Ong Kim Swee dan kini anak-anak buah Elavarasan mahu menamatkan kemarau ibu segala pingat emas temasya dwitahunan itu.