BOLA sepak Malaysia terus dibayangi isu tunggakan gaji apabila sembilan kelab tempatan termasuk Terengganu FC dan Kelantan Darul Naim FC dikenakan larangan perpindahan oleh FIFA.

Hukuman itu dipercayai berpunca daripada kegagalan menyelesaikan masalah gaji tertunggak, menjadikan kelab-kelab terbabit antara lebih 60 pasukan di Asia yang sedang berdepan sekatan serupa.

Terengganu menerima tamparan paling hebat apabila dihukum penggantungan tiga tahun bermula April, sekali gus menggugat persiapan mereka untuk menghadapi musim 2025-26 Liga Malaysia.

Meskipun bekas penyerang mereka, Ivan Mamut dikaitkan, beliau mengesahkan tidak pernah membuat aduan kepada FIFA, menimbulkan persoalan terhadap punca sebenar hukuman tersebut.

Selain dua kelab utama itu, senarai larangan turut membabitkan Kelantan FC, Kelantan FA, PT Athletic FC, Sarawak United, Perlis, Melaka United FC dan Melaka United. Perlis kekal sebagai kelab paling lama digantung sejak 2020 dan 2021, dengan hukuman masih belum ditarik balik hingga kini.

Larangan ini merupakan sebahagian daripada langkah tegas FIFA terhadap kelab yang ingkar tanggungjawab kewangan, dengan Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 20 kelab diikuti China. Kelab-kelab dari Iran, Thailand, Indonesia, UAE, Korea Selatan dan Australia turut terlibat.

Situasi ini bukan sahaja mencalar imej liga domestik, malah boleh menjejaskan kepercayaan pemain terhadap kestabilan kelab tempatan jika masalah ini terus berlarutan tanpa penyelesaian menyeluruh daripada pengurusan tertinggi bola sepak negara.