GELARAN juara beregu campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia (AJBC) tidak mengubah haluan pemain muda negara, Low Zi Yu yang tetap mahu memberi sepenuh tumpuan kepada acara beregu wanita bersama Noraqilah Maisarah Ramdan.
Pemain berusia 17 tahun itu berkata, dia belum memikirkan peluang beraksi dalam beregu campuran di peringkat senior kerana mahu terus mengembangkan gandingannya bersama Noraqilah.
“Itu saya tak fikir lagi. Saya tak tahu ada main beregu campuran dalam kejohanan senior. Itu kena tengok jurulatihlah. Tapi buat masa sekarang saya fokus beregu saya dengan Aqilah dulu,” katanya.
Zi Yu sebelum ini mencipta sejarah bersama Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal apabila menamatkan penantian 19 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu campuran AJBC selepas menewaskan pasangan China pada aksi final.
Menurutnya, kejayaan itu hadir di luar jangkaan memandangkan mereka tidak banyak menjalani latihan bersama sebelum kejohanan.
“Baguslah sebab kita latihan pun tak banyak juga, tapi boleh menang. Memang saya rasa ini satu bonus. Saya rasa kami mempamerkan prestasi yang baik sepanjang kejohanan,” katanya.
Selepas kejayaan itu, Zi Yu akan mengalihkan tumpuan kepada Terbuka Taipei, manakala Ahmad Redzuan menyasarkan aksi terbaik pada Kejohanan Antarabangsa Remaja Malaysia sambil menyifatkan bimbingan jurulatih banyak membantu mereka mengubah corak permainan sehingga muncul juara.