KEMELUT isu tunggakan gaji yang melanda kelab Kuala Lumpur (KL) City FC masih belum menemui titik noktahnya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad yang menyatakan bahawa mereka masih mempunyai tunggakan pembayaran gaji pemain sekitar RM2 juta untuk bulan Oktober dan November 2023.

Jumlah tersebut termasuk  bayaran gaji pemain dan pengurusan kelab  yang masih belum dilunaskan dengan anggaran sebulan sekitar RM1 juta.

Tambahan pula, bayaran khas untuk perlawanan pada bulan Disember 2023 juga ada yang perlu ditampung akibat perubahan jadual Liga Super musim 2023.

Kelab KL City FC ditangga ke ntujuh Liga Super 2023.

“Berdasarkan bajet yang telah dibentang sebelum ini, kita memerlukan RM10 juta tetapi kita hanya mendapat RM 5 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jadi kita berada dalam keadaan kesempitan.

“Kini, kita kekurangan RM2 juta untuk membayar gaji pemain iaitu bulan Oktober dan November (yang tertunggak) mengikut kontrak perlawanan, manakala pada Disember, ada perlawanan yang kita perlu tampung berikutan perubahan jadual Liga Super 2023,” ujarnya dalam sesi sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Sementara itu, Khalid Samad turut menegaskan bahawa kelab bola sepak itu tidak akan mengurangkan bajet perbelanjaan kelab mereka iaitu berjumlah RM 14 juta setahun meskipun mereka berhadapan dengan kemelut kewangan ketika ini.

Bagi Khalid, pepatah ‘gali lubang, tutup lubang’ tidak sinonim dengan pihaknya kerana mereka dalam usaha untuk mengekalkan kualiti bola sepak KL City walaupun pelbagai dugaan khususnya dari segi kewangan melanda.

 

Khalid Samad hadir ke sesi sidang media pada Jumaat.

“Peruntukan untuk tahun 2024 pula masih belum diperolehi dengan jelas, tetapi selama ini kita dapat RM5 juta setahun namun kita tetap boleh hidup.

“Untuk dirumuskan, perbelanjaan setahun kelab adalah lebih kurang RM14 juta, termasuk mempunyai tanggungan tambahan seperti pasukan bawah-18 tahun, bawah-23 tahun.

“Kita tidak boleh mengurangkan bajet sedemikian, jika kita berbuat begitu, kita akan mengorbankan kualiti bola sepak kelab ini,” ujarnya.