GERGASI Sepanyol, Real Madrid sekali lagi menegaskan pendirian untuk tidak menyertai majlis anugerah berprestij Ballon d’Or di Perancis dua minggu lagi, sebagai kesinambungan protes tahun lalu apabila mereka memboikot acara tersebut kerana tidak puas hati terhadap keputusan dan sistem pengundian.

Pertikaian ini tercetus apabila penyerang sensasi Vinícius Jr. diketepikan daripada memenangi Ballon d’Or meskipun mempamerkan musim luar biasa, sebaliknya anugerah diberikan kepada Rodri yang dianggap tidak adil oleh pihak kelab sehingga menimbulkan rasa kurang percaya terhadap ketelusan undian dan mendorong Real Madrid memboikot acara berkenaan.

Musim ini menyaksikan beberapa bintang Real Madrid tersenarai dalam pencalonan termasuk Kylian Mbappé, Vinícius Jr. dan Jude Bellingham, manakala Caroline Weir tercalon bagi Ballon d’Or wanita, Huijsen dalam Trofi Kopa serta Thibaut Courtois untuk Trofi Yashin.

Namun, Real Madrid tidak membuat sebarang pengumuman rasmi di saluran media mengenai pencalonan pemain-pemain mereka, dan ketiadaan pengiktirafan ini menjadi isyarat jelas bahawa pendirian boikot masih diteruskan, sementara tanda-tanda menunjukkan kelab itu tidak akan menghantar wakil ke gala tersebut meskipun tanpa pengesahan muktamad.

Penganjur Ballon d’Or, France Football, telah berusaha merapatkan kembali hubungan dengan Presiden Real Madrid, Florentino Pérez melalui kunjungan delegasi khas ke Madrid bagi membuka ruang perbincangan, namun usaha diplomasi itu tidak membuahkan hasil positif.

Majlis anugerah Ballon d’Or 2025 dijadualkan berlangsung pada 22 September di Paris, dan dengan tinggal kurang daripada dua minggu, ketidakhadiran Real Madrid dijangka menjadi perhatian besar kerana situasi ini bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai hubungan antara kelab terbesar dunia dengan penganjur, malah boleh memberi kesan terhadap kredibiliti serta prestij Ballon d’Or itu sendiri.