KETUA pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias bersyukur kerana kesemua rakan sepasukannya bebas dari kecederaan dan penggantungan yang membolehkan kesemua boleh diturunkan untuk bermain.

Farizal juga senada dengan kenyataan Ketua Jurulatihnya, Hector Bidoglio yang menganggap perlawanan akhir ini akan menjadi satu perlawanan yang berbeza dan mereka sebagai satu pasukan perlu lebih berhati-hati.

Penjaga gol kebangsaan itu juga sedar akan kekuatan pasukan Selangor sejak dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe dan berharap agar cuaca baik menjelang aksi final pada Sabtu.

Farizal Marlias bersama trofi Piala Malaysia.

“Perlawanan esok adalah perlawanan yang berbeza. Apa yang penting adalah persediaan pasukan dan kami semua sudah bersedia dan tidak sabar untuk turun memberikan aksi terbaik.

“Alhamdulillah motivasi pemain sangat baik dan apa yang positif adalah para pemain sangat bersemangat dengan tiada yang mengalami kecederaan atau menjalani penggantungan jadi semua pemain bersedia untuk diturunkan.

“Di Malaysia hujan adalah satu masalah yang tidak dapat dielak dan jika hujan kedua-dua pasukan tidak dapat berikan persembahan yang dimahukan dan berharap cuaca yang baik menjelang perlawanan esok.

Aksi Farizal ketika latihan.

“Apabila Tan Cheng Hoe membawa Selangor, kita dapat lihat perbezaan dengan mereka kini lebih teratur di pertahanan dan serangan serta kami perlu berhati-hati dengan serangan balas mereka,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Farizal Marlias juga tidak mahu mengenang kekalahan pada final musim lalu dan mahu terus fokus kepada perlawanan akhir ini sekaligus memberikan piala keempat musim ini buat JDT.

JDT kini dalam pemburuan gelaran ‘Quadruple’ untuk menyapu bersih kesemua trofi domestik yang dipertandingkan musim ini dengan Selangor cuba menjadi penghalang cita-cita Harimau Selatan.