PENDAKWAH terkenal, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepada arena bola sepak negara selepas menerima pencalonan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029. Kongres Pemilihan FAM ke-61 akan berlangsung pada 15 Februari 2025.

Penglibatan Dr Fathul Bari dalam sukan, termasuk sebagai penaung Abata Sports & Recreations, mencerminkan komitmennya dalam pembangunan bola sepak.

“Bismillah. Saya dengan rasminya menerima pencalonan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM. Terima kasih kepada FAM dan semua yang terlibat. Moga Allah permudahkan segalanya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Pemilihan FAM mengesahkan seramai 29 calon akan bertanding untuk merebut 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029.

 

Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob dijangka memenangi kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tanpa bertanding selepas menjadi calon tunggal menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin. Pengesahan ini dibuat sebaik sahaja borang pencalonan ditutup pada Khamis lalu.

Dua lagi jawatan penting, Timbalan Presiden, turut menyaksikan kemenangan tanpa bertanding oleh Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram selepas tiada pencabar lain mengemukakan pencalonan untuk kedua-dua posisi tersebut.

Namun, saingan dijangka sengit bagi kerusi lain, khususnya Naib Presiden yang menawarkan empat kerusi tetapi menarik perhatian lima calon.

Sementara itu, perebutan untuk kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) lelaki lebih meriah dengan 18 calon bersaing bagi merebut lapan kerusi yang ditawarkan, termasuk Fathul Bari.