JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih belum membuat keputusan sama ada akan meneruskan cabaran ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pelumba berusia 38 tahun itu menjelaskan, keputusan tersebut memerlukan pertimbangan teliti memandangkan ia melibatkan komitmen besar di dalam dan luar trek.

Antara faktor utama yang menjadi keutamaan adalah keluarga, terutama apabila anak-anaknya kini semakin membesar dan memerlukan perhatian lebih.

“Kalau nak pergi ke LA, banyak perkara perlu dipertimbangkan, nombor satu adalah keluarga. Anak-anak semakin membesar dan perlukan perhatian. Pengorbanan itu bukan kecil,” katanya.

Selain itu, aspek kewangan turut menjadi pertimbangan penting kerana beliau memerlukan sokongan penajaan serta sistem bantuan yang kukuh sekiranya mahu terus bersaing di pentas tertinggi.

“Saya tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada KBS atau MSN. Kalau mahu ke LA, saya perlukan penajaan yang kukuh dan sistem sokongan yang mantap,” katanya.

Dalam masa sama, Azizulhasni turut memberi penekanan kepada kepentingan sokongan sains sukan, khususnya dari segi pemulihan bagi memastikan tahap prestasi dapat dikekalkan.

“Pada usia ini, recovery sangat penting. Saya perlukan pasukan sokongan yang lengkap dari segi sains sukan untuk membantu saya kekalkan prestasi,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau kini memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026 sebagai sasaran jangka pendek.

Beliau juga merancang untuk menjalani latihan di Malaysia bagi memanfaatkan kemudahan serta pasukan sokongan yang lebih memahami keperluan sebagai atlet elit.

“Lepas perlumbaan ini, saya akan tinggal sementara dekat Malaysia untuk persediaan untuk Sukan Komanwel dengan Sukan Asia. Kerana kita ada pasukan dan fasiliti semua di sini,” tambahnya.

Keputusan mengenai penyertaan ke Olimpik 2028 dijangka hanya akan dibuat selepas semua aspek termasuk keluarga, kewangan dan sokongan teknikal dinilai secara menyeluruh.

Sumber Gambar: X UCI Track Cycling