PASUKAN hoki dalam dewan Malaysia tampil dengan keyakinan tinggi menjelang penampilan sulung mereka di FIH Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Croatia, dengan sasaran besar untuk sekurang-kurangnya meraih tempat di podium.
Ketua pasukan, Najmi Farizal, menegaskan bahawa skuad negara tidak sekadar mahu menjadi pelengkap saingan, sebaliknya bertekad mencipta sejarah dengan mencapai keputusan cemerlang di kejohanan itu nanti.
“Bagi kami, sasaran minimum adalah naik podium. Kami sudah berlatih keras selama lima bulan sebagai persediaan, dan jika kami hanya mengambil kejohanan ini sekadar untuk melayakkan diri, itu satu kerugian besar.
“Kami mahu ke separuh akhir dan seterusnya meraih podium. Itu akan menjadi satu pencapaian hebat untuk pasukan dan negara,” katanya selepas sidang media pengumuman senarai 12 pemain skuad negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Najmi turut menekankan semangat juang tinggi dalam kalangan pemain, yang tidak gentar berdepan dengan gergasi hoki dalam dewan seperti Jerman, Argentina, dan Iran.
Meskipun Malaysia dianggap sebagai pasukan underdog, Najmi percaya kelebihan strategi pasukan negara mampu mengejutkan lawan yang belum pernah melihat corak permainan mereka.
“Kami tahu ini kali pertama Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia Indoor, dan mungkin Jerman atau Argentina belum pernah tengok cara kami bermain. Iran mungkin pernah tengok, tapi kami tetap akan memberi saingan sengit.
“Kami mahu menang setiap perlawanan dan sasaran kami adalah memastikan tiga mata penuh setiap kali turun ke padang,” tegas Najmi.
Kejohanan FIH Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Croatia dijangka menyaksikan persaingan sengit, namun pasukan negara yakin kerja keras selama ini akan membuahkan hasil. Dengan semangat juang tinggi dan sokongan padu, Malaysia kini bersedia mencipta sejarah baharu di pentas antarabangsa.