REMAJA wanita negara beraksi cemerlang pada perlawanan ketiga kumpulan A, Piala Remaja Asia selepas membelasah Uzbekistan 12-0.
Kemenangan kedua itu membuka semula peluang buat skuad bimbingan Lailin Abu Hassan untuk menempah tiket ke separuh akhir, sekali gus memburu satu slot untuk layak ke Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung di Chile, Disember depan.
Bagaimanapun, dalam aksi di Stadium Hoki Kawasaki Heavy Industries, Kakamigahara, Jepun, Young Tigress mampu menarik nafas lega apabila Korea Selatan gagal menewaskan India, apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2, sekali gus meletakkan posisi skuad negara, wajib menang ke atas Korea Selatan Khamis ini, pada aksi terakhir kumpulan A.
Ketua jurulatih skuad negara, Lailin gembira dengan persembahan anak-anak buahnya yang kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Korea Selatan, namun memiliki kelebihan dari segi jumlah perbezaan gol.
“Saya berpuas hati dengan 12 gol yang telah dihasilkan kerana ia merapatkan jarak perbezaan gol dengan Korea Selatan untuk membuka laluan ke separuh akhir nanti.
“Saya melihat masih ada kelemahan dari segi asas hoki dan taktikal yang perlu diperbaiki menjelang aksi penting bertemu Korea Selatan.
“Saya berharap pemain cepat menyesuaikan diri dengan taktikal akan dirancang kerana Korea Selatan antara pasukan pilihan dan berpeluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir,” katanya.
Dalam aksi menentang Uzbekistan hari ini, dua pemain, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri dan Zati Alyani Muhamad Zubir masing-masing berjaya meledak hatrik buat Young Tigress.
Kirandeep Kaur Gurdip Singh dan Norshafiqha Ishak pula masing-masing menjaringkan dua gol selain satu jaringan daripada Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin serta Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha melengkapkan kemenangan besar skuad negara.