JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, dengan semangat membara menyahut cabaran untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan setelah bersetuju menjadi ketua jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC,

Mengulas mengenai keputusannya, Irfan mengakui bahawa kegilaan dan sokongan luar biasa peminat bola sepak Kelantan menjadi dorongan utama beliau menerima tawaran ini.

Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam arena kejurulatihan dan memimpin pelbagai pasukan bola sepak, beliau bertekad mengembalikan KRW ke tempat yang sepatutnya.

“Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan sebagai ketua jurulatih KRW. Sebelum ini, saya pernah bersama pasukan Kelantan sekali sahaja, dan kini saya bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar ini.

“Kedudukan Kelantan yang berada di bawah ketika ini adalah satu cabaran besar. Namun, saya percaya dengan sokongan padu penyokong, pasukan ini mampu bangkit kembali ke tahap terbaik.

“Sebelum era JDT, Kelantan pernah menjadi pelopor kepada fenomena penyokong bola sepak negara,” katanya.

 

 

@kelantanredwarriorfcUcapan dari Ketua Jurulatih Irfan Bakti 🔥 Sek kito cubo tra komen player mana yang nok main untuk kelate?♬ original sound – KELANTAN RED WARRIOR FC

Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hasan.

Irfan menegaskan bahawa bola sepak Kelantan bukan lagi satu bahan eksperimen, tetapi memerlukan kerjasama erat antara pihak pengurusan, pemain, dan penyokong untuk mencapai kejayaan.

“Bola sepak Kelantan memerlukan pendekatan serius dan fokus. Ia bukan sekadar eksperimen. Semua pihak perlu bersatu hati untuk memastikan Kelantan kembali berada di puncak.

“Matlamat ini bukan mudah, dan saya akui ia memerlukan masa serta usaha yang konsisten,” jelas beliau.

Dalam aspek pemilihan pemain, Irfan menegaskan bahawa kualiti dan disiplin adalah keutamaan beliau. Sebagai seorang bekas tentera berpangkat Kapten, Irfan terkenal dengan pendekatan disiplin yang ketat, dan beliau tidak akan bertolak ansur dengan pemain yang hanya mahu sekadar menumpang tanpa memberikan komitmen penuh kepada pasukan.

“Saya mahukan pemain berkualiti dan berdisiplin. Mereka perlu berjuang sepenuh hati untuk misi pasukan. Dalam bola sepak, tidak ada tempat untuk pemain yang hanya menjadi ‘passenger’,” tegasnya.

Dengan wawasan dan komitmen yang jelas, Irfan Bakti membawa harapan baharu buat Kelantan Red Warriors untuk kembali menyinar di persada bola sepak Malaysia.

Pasukan ini kini bersedia untuk melakar sejarah baharu di bawah pimpinan seorang jurulatih yang penuh pengalaman dan semangat juang.