TIDAK konsisten dan terburu-buru mahu mematikan bulu tangkis, membantut kemaraan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah ke final Kejohanan Badminton Terbuka India 2025.
Selepas tersingkir di separuh akhir, kedua-dua pemain itu sependapat, bahawa mereka masih gagal mengatasi masalah yang sama dalam perlawanan.
“Kami berdepan masalah sama, iaitu tidak konsisten, terburu-buru dan tidak betul-betul menikmati proses (mendapatkan amta)… kesilapan saya kami ulangi berkali-kali,” kata Pearly kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), mengulas mengenai kekalahan kepada pilihan kelapan kejohanan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan.
Pada perlawanan berlangsung selama 55 minit itu, mereka tunduk 18-21, 18-21.
Meskipun gagal ke final, gandingan yang berada di ranking ketujuh dunia itu telah mempamerkan kemajuan, selepas tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia minggu lalu.
Malah, mereka memperbaiki pencapaian di New Delhi, berbanding menamatkan saingan di pusingan kedua, edisi tahun lalu.
Bagi Pearly, pasangan Korea Selatan itu bermain baik namun kesilapan sendiri banyak memberi kelebihan kepada lawan.
Sementara itu, Thinaah berkata, mereka amat mengenali corak gandingan lawan yang sebelum ini berpasangan dengan pemain berbeza.
“Sebelum ini kami menentang pasangan berbeza… jadi corak permainan mereka juga berbeza.
“Secara individu, kami kenal kekuatan lawan tetapi sebagai satu pasangan ia berbeza.
“Kemaraan ke separuh akhir ini saya tidak sifatkan prestasi baik di awal musim kerana kami boleh melakukan yang lebih baik, tetapi kami menjadikannya sebagai pengajaran dan akan bangkit,” ujar Thinaah.
Selepas itu, Pearly-Thinaah akan beraksi di Indonesia Masters dan mereka memperoleh bye pada pusingan pertama.