PASUKAN hoki lelaki negara menyasarkan prestasi yang lebih baik daripada kejohanan piala dunia sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan

Pasukan Kebangsaan, Dato’ Najmi Razak dalam sidang media mengatakan sasaran bagi kejohanan Piala Dunia ini adalah mecapai pusingan suku akhir.

“Harapan kita adalah agar mereka mampu mara ke peringkat suku akhir. Berdasarkan pemerhatian saya sendiri, para pemain berada dalam keadaan yang sangat baik, dengan semangat dan mood yang positif serta tahap kecergasan fizikal yang memuaskan.”

“Saya juga melihat prestasi mereka semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan, dan perkembangan ini pastinya memberikan keyakinan kepada pasukan untuk terus melangkah lebih jauh dalam kejohanan.” tambah beliau ketika sidang media.

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Coach Brendon Carolan tidak menganggap pasukan berada dalam kumpulan maut bersama Jerman, Perancis dan Belgium.

“Saya tidak akan mengatakan bahawa ini adalah kumpulan maut sebaliknya saya melihatnya sebagai sebuah kumpulan yang memberikan peluang dan segalanya  bergantung kepada bagaimana kita melihat dan menilai situasi tersebut.”

Muhammad Marhan Jalil bakal mengetuai 20 pemain yang bakal membawa nama negara di kejohanan Piala Dunia ini dan mereka akan berlepas ke Belgium pada 3 Ogos jam 2 pagi.

Speedy Tigers akan menjalankan perlawanan persahabatan menentang Sepanyol sebelum memulakan perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Jerman pada 15 Ogos jam 8:30 malam waktu tempatan.