SKUAD Speedy Tigers disaran memperkemaskan jentera serangan dan memperkukuh benteng pertahanan menjelang pertemuan sulung menentang Austria dalam aksi pembukaan Kelayakan Hoki Piala Dunia, esok.
Bekas kapten hoki kebangsaan, Datuk Mirnawan Nawawi berpandangan pasukan kendalian Sarjit Singh perlu menggunakan tempoh akhir persiapan ini untuk menilai serta menambah baik setiap aspek permainan sebelum turun ke gelanggang.
Menurut beliau, walaupun keputusan aksi persahabatan tidak boleh dijadikan kayu ukur mutlak, masih terdapat beberapa kelemahan yang wajar diberi perhatian serius, termasuk keberkesanan pukulan sudut penalti, penyudah di hadapan gol serta disiplin ketika bertahan.
“Bagi saya, kalau hendak diperbaiki sebelum aksi pembukaan, semua bahagian perlu diberi perhatian oleh pasukan. Pukulan sudut penalti, serangan dan juga pertahanan, ini fasa terakhir persiapan. Jadi pemain perlu cepat menyesuaikan diri dengan corak taktikal yang dibawa jurulatih teknikal baharu,” katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama Austria, Pakistan dan China telah berlepas lebih awal ke Mesir bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan padang, selain mengharungi beberapa perlawanan pemanas badan sebagai persiapan terakhir.
Mengulas aksi menentang Austria, Mirnawan menyifatkan perlawanan itu sebagai penentu momentum awal pasukan dalam kempen kali ini, malah menegaskan tiga mata pertama amat penting untuk membina keyakinan menghadapi baki saingan kumpulan.
“Bagi saya, perlawanan pertama dengan Austria paling penting. Tiga mata itu akan beri keyakinan untuk hadapi Pakistan dan China. Kita jangan fikir Pakistan dulu. Fokus dapatkan tiga mata pertama. Perjalanan ke separuh akhir banyak ditentukan oleh keputusan perlawanan pembukaan,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan pemain agar meningkatkan ketajaman di zon serangan tanpa mengabaikan faktor keselamatan diri, terutama bagi mengelakkan kecederaan menjelang kejohanan.
“Kita tidak mahu ada pemain cedera sebelum kejohanan bermula. Itu paling penting,” katanya.