PENDAHULU Sepak Takraw League (STL) 2024, Kuala Lumpur Thunder menepati ramalan apabila layak ke separuh akhir Grand Prix (GP) Perak dengan mengatasi Negeri Sembilan Antlers 2-1 (15-8, 13-15, 15-6).
Dengan KL Thunder menurunkan berisan terkuat yang dibarisi Syahir Rosdi (tekong) Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Norazlan Alias (apit kanan), mereka tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 15-8 dalam set pertama.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan Antlers yang dibarisi oleh Muhd Haziq Hairul Nizam (tekong), Muhd Hafizul Hayazi Adnan (apit kanan) dan Zulefendi Sumari (apit kiri) memperkemaskan aksi untuk merampas set kedua dengan kemenangan 15-13.
Namun, kebangkitan Negeri Sembilan Antlers tidak tahan lama apabila trio KL Thunder kembali mendominasi set penentuan untuk ke separuh akhir dengan kemenangan 15-6.
Menunggu KL Thunder dalam perlawanan separuh akhir pada Ahad ialah diantara Perak Bison dan KPT-MASUM Knights.
Dalam satu lagi aksi suku akhir yang berlangsung petang tadi, ATM Guardians tidak berdepan masalah apabila menewaskan Terengganu Turtles 2-0 (17-14, 15-11).
Terengganu Turtles memberikan saingan yang hebat kepada ATM pada set pertama namun ATM Guardians mampu untuk mengekalkan fokus mereka untuk memenangi set itu 17-14.
Set kedua memperlihatkan ATM Guardians lebih banyak menguasai gelanggang sekaligus menang dengan keputusan 15-11. ATM Guardians akan bertemu sama ada Johor Tigris atau Selangor Pistons.