Kredit Gambar: Thomas Samson/AFP

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menebus kekecewaan selepas sekadar meraih gangsa dalam acara pecut apabila muncul juara keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Pelumba berusia 38 tahun itu mempamerkan kebangkitan dalam acara kegemarannya apabila mengatasi cabaran sengit untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Malaysia.

Azizulhasni turut mendapat sokongan rakan senegara, Shah Firdaus Sahrom, yang sama-sama melangkah ke perlumbaan akhir selepas melepasi saingan separuh akhir.

Final turut menampilkan dua pelumba China, Li Zhiwei dan Xie Han, selain wakil tuan rumah Jepun, Minato Nakaishi serta pelumba Hong Kong, Yung Tsun Ho.

Azizulhasni berdepan tekanan apabila cuba dikepung pelumba China sepanjang perlumbaan, namun pengalaman dan ketenangannya membolehkan beliau menunggu detik sesuai sebelum melancarkan pecutan pada pusingan terakhir.

Pecutan tersebut membuahkan hasil apabila Azizulhasni melintasi garisan penamat di tempat pertama, diikuti Li Zhiwei di tempat kedua manakala Xie Han melengkapkan podium dengan gangsa.

Shah Firdaus pula menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima, namun kejayaan Azizulhasni memastikan Malaysia memperoleh satu lagi emas daripada arena berbasikal trek.

Lebih manis, emas keirin itu menjadi emas kedua Azizulhasni dalam sejarah penyertaannya di Sukan Asia selepas beliau turut memenangi acara sama pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Kejayaan Azizulhasni itu turut menyaksikan kutipan kontinjen Malaysia meningkat kepada lapan pingat emas di Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menambah satu lagi detik penting dalam karier jaguh berbasikal trek negara itu.