PASUKAN Negeri Sembilan Antlers berjaya mencatat kemenangan penting dan memecahkan dominasi KL Thunders setakat musim ini dalam perlawanan sengit STL GP Terengganu yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak Selasa malam.
Perlawanan yang sering disebut sebagai ‘Battle of Tekong’ ini menyaksikan aksi cemerlang daripada Haziq, tekong utama Negeri Sembilan, yang banyak menyumbang kepada kemenangan pasukan.
Dalam set pertama, KL Thunders mendahului dengan kemenangan 15-10, namun Negeri Sembilan berjaya bangkit semula dengan memenangi set kedua 15-11.
Serangan dari KLThunders melalui tekong mereka, Syahir, memberi tekanan kepada pasukan Negeri Sembilan, namun kesilapan teknikal kecil daripada pihak lawan memberi peluang kepada Negeri Sembilan untuk mendominasi perlawanan.
Set ketiga menyaksikan KL Thunders gagal menahan asakan Negeri Sembilan yang akhirnya menamatkan set tersebut dengan keputusan 15-9.
Kapten Negeri Sembilan Antlers, Zulefendi, dalam sidang media selepas perlawanan, memuji persembahan Haziq yang berjaya mencipta banyak mata penting dalam perlawanan tersebut.
“Set pertama tu Haziq banyak membantu dalam mengutip mata , walaupun ada kesilapan kecil daripada saya yang sepatutnya tak berlaku, Haziq banyak bantu dalam perlawanan,” kata Zulefendi.
Ketika ditanya mengenai kelemahan yang perlu diperbaiki, Zulefendi mengakui ada beberapa kesalahan dari segi setting yang perlu diperbaiki.
“Mungkin daripada segi setting saya tadi ada terlepas, dan setting ada yang tidak menjadi. Tapi Haziq hari ini memang patut diberi pujian kerana dia banyak menyusahkan pasukan KL Thunders untuk menahan bola,” tambahnya lagi.
Negeri Sembilan Antlers kini bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan di STL GP 2 ini.